Monday, March 14, 2016

2 TAHUN : Tenggelam, lemas dan timbul

DUA TAHUN : Tempoh perjalanan yang tidak sia-sia. Aku melalui jalan pengajian yang membingungkan. Hilang segala minat, tenggelam segala kekuatan dan yang ada hanyalah sebuah kepasrahan. Liku-liku perjalanan untuk tempoh 2 tahun adalah tempoh mematangkan pengalaman hidup. Setidak-tidaknya aku telah mengerti istilah "lahaulawala". Juga aku mengerti nilai kemanusiaan dari sudut hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan hamba dengan TuhanNya.

Tempoh ini juga aku sekadar membayar yuran pengajian sahaja tanpa sebarang progres yang membanggakan. Tiada langsung. Ini kerana di awal tempoh pendaftaran sebagai pelajar mahasitua di UTHM, aku cuba menulusuri bidang kepimpinan pendidikan dan cuba meneroka dan mengkaji perihal kepimpinan (Guru Besar) di Sekolah Rendah yang mendapat bai'ah daripada KPM. Akhirnya, aku akui bahawa aku gagal menimbulkan minat yang mendalam dalam bidang itu. Aku bingung lagi.

Semester 5 ini (Sem 1 - 2016/2017), aku kembali ke pangkal jalan. Aku kembali mendalami bidang psikologi yang sememangnya bidang asal aku yang seiring dengan Ijazah Sarjana Muda (Degree) dan Sarjana Pendidikan (Master) yakni pengkajian berkenaan STRESS dalam bidang pekerjaan. Sesuai sangat dengan pengalaman stress aku dalam pengajian PhD ini. Amboi aihhh... Pengalaman STRES mengajar aku erti PHIONIX yang bangkit. 

Sebenarnya, dalam tempoh 2 tahun yang lalu, aku hilang fokus tentang belajar. Aku terlalu tertumpu perihal pengkajian ilmu spiritual (kerohanian) dan MENGENAL DIRI. Tempoh pengalaman itulah, amat mematangkan pemikiran dan jiwa demi kelangsungan sebuah kehidupan. Apakah wajar aku kini dipanggil ZOMBI MODEN? Seorang yang tidak terikat dengan alam fikiran dan alam perasaan. Aku reset alam fikiran lama yang membentuk pemikiran yang baru sehingga bergelar ZOMBI MODEN. 

Dalam cerita barat, Zombi hanya memakan otak manusia dan menjadi seorang yang tidak berperikemanusiaan. Namun, ZOMBI MODEN lebih kepada memakan "ingatan kepada Allah" semata-mata (zikir).

Kini, aku kembali berjuang dalam dunia ilmu bagi menulusuri jalan pengajian PhD dan menggenggam segulung ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang aku minati - PSIKOLOGI berkaitan STRESS dalam organisasi.

Aku benar-benar bersyukur kerana mempunyai seorang penyelia yang memahami dan tidak mendesak aku berkaitan pengajian ini. Beliau membantu aku dalam beberapa hal demi kelangsungan status aku sebagai student PhD.

Selamat Berjuang untuk sebuat martabat diri selagi bernyawa.

MANUSIA MATI MENINGGALKAN NAMA.


Friday, April 25, 2014

Menguasai Kemahiran Metodologi

Salah satu aspek penting yang perlu dikuasai oleh pelajar siswazah yang menjalankan kajian untuk menyiapkan tesis atau disertasi adalah metodologi penyelidikan. Ramai pelajar yang hilang arah sekaligus gagal dalam pengajian siswazah disebabkan mereka tidak menguasai kemahiran metodologi penyelidikan dengan baik. Metodologi umpama nukleus yang menghidupkan seluruh aktiviti penyelidikan. Pelajar yang gagal menguasai kemahiran metodologi akan meraba-raba dalam kegelapan sepanjang proses pembelajaran mereka. Metodologi juga boleh diibaratkan seperti kenderaan yang akan membawa penumpang untuk sampai ke sesuatu destinasi perjalanan. Tanpa kenderaan, sukar untuk sampai ke tempat tujuan. Kalau sampai sekalipun, mereka akan sampai dalam keadaan sangat teruk seperti keletihan melampau, pakaian koyak rabak, kecederaan anggota badan, trauma yang buruk dan sebagainya. Dengan kata lain, pelajar siswazah yang berjaya menyiapkan tesis dalam keadaan tidak menguasai kemahiran metodologi penyelidikan tidak akan sempurna sifat kesarjanaan mereka. Mereka tidak akan mampu untuk mengaplikasikan budaya penyelidikan tersebut dalam lapangan sebenar. Kalau mereka menjadi pensyarah selepas itu, mereka akan mewarisi masalah tersebut kepada pelajar-pelajar yang akan mereka selia. Mereka juga akan menjadi bebanan berterusan kepada universiti atau institusi tempat mereka berkhidmat. Pendek kata, kemahiran metodologi adalah lesen yang wajib ada pada setiap ahli akademik, khususnya pensyarah unversiti.

Untuk berjaya dalam pengajian siswazah, pelajar mesti menguasai kemahiran metodologi dengan baik. Metodologi penyelidikan bersifat saintifik. Walaupun dalam beberapa aspek ada perbezaan pandangan, namun secara umum metodologi penyelidikan bersifat objektif dan boleh diukur. Dengan kata lain, sarjana akademik menguasai dan memahami kemahiran metodologi penyelidikan dengan indikator pengukuran yang sama. Sekiranya pelajar siswazah melakukan kesilapan dalam metodologi penyelidikan sama ada pemilihan rekabentuk, teknik persampelan, tatacara analisis data dan sebagainya, kesalahan tersebut akan cepat dikenal pasti oleh penyelia, pensyarah lain, pemeriksa tesis atau komuniti akademik yang lain. Tiada jalan pintas yang boleh diambil oleh pelajar siswazah untuk menyiapkan tesis atau disertasi akademik mereka. Kalau mereka memilih untuk melalui laluan rentas sekalipun, mereka masih tetap perlu melalui lorong metodologi. Sama ada suka atau tidak, pelajar siswazah yang bercita-cita menamatkan pengajian siswazah dengan cemerlang dan memiliki nilai kesarjanaan yang lengkap perlu menguasai kemahiran metodologi penyelidikan.

Sering berlaku calon-calon ijazah sarjana atau doktor falsafah gagal dalam pembentangan proposal kajian disebabkan mereka lemah dalam kemahiran metodologi penyelidikan. Selain meneliti area atau isu yang menjadi fokus kajian, penilai proposal akan memberi perhatian serius terhadap pematuhan disiplin penyelidikan iaitu metodologi. Mereka akan meneliti permasalahan kajian, tujuan kajian, persoalan kajian, hipotesis kajian, rekabentuk kajian, persampelan, instrumen, tatacara pengumpulan data, tatacara analisis data dan sebagainya. Proposal yang menyalahi disiplin ini secara keterlaluan akan ditolak, manakala proposal yang mematuhi disiplin ini dalam julat yang sepatutnya akan diterima atau diterima dengan sedikit pembetulan. Calon yang gagal pada peringkat pembentangan proposal tidak perlu bersedih, berhiba hati menangisi diri atau patah hati. Gagal pada peringkat pembentangan proposal adalah lebih baik berbanding meneruskan kajian dengan asas kerja yang salah. Gagal pada peringkat pembentangan proposal memberi ruang untuk kita membetulkan semula arah tuju perjalanan kajian kita. Perjalan ribuan batu bermula dengan langkah pertama. Oleh itu sangat penting kepada kita untuk memastikan langkah pertama tersebut dihalakan pada arah yang betul.

Tentang cara untuk menguasai kemahiran metodologi, saya lebih suka menyatakan ‘tepuk dada tanya selera’. Pelajar siswazah adalah golongan terpelajar yang telah melalui pelbagai peringkat akademik. Mereka telah merasa banyak asam garam dalam proses pembelajaran sebelum itu. Mereka telah melalui pelbagai sepak terajang, rintangan dan tribulasi sepanjang pengajian prasiswazah sebelumnya. Sepatutnya mereka telah masak dengan dunia pembelajaran dan tahu di mana sepatutnya mereka boleh memperolehi kemahiran yang diperlukan. Mereka hanya perlu menambah sedikit usaha pencarian berbanding semasa pengajian prasiswazah sebelum itu. Jika di peringkat prasiswazah, pelajar lebih banyak mengumpul maklumat daripada kuliah pensyarah. Sebaliknya pada peringkat pengajian siswazah, perlu banyak berusaha sendiri untuk mendapat maklumat yang diperlukan. Bagi pelajar yang mengambil mod pengajian kerja kursus atau mod campuran antara kerja kursus dan disertasi, mereka tidak berhadapan dengan masalah besar. Kebiasaannya silibus pengajian jenis ini akan menawarkan kuliah dalam jumlah jam kredit tertentu bagi metodologi penyelidikan mengikut disiplin pengajian masing-masing. Mereka boleh mendapatkan kemahiran tersebut daripada kelas yang ditawarkan. Namun bagi pelajar yang mengambil mod penyelidikan penuh, mereka tidak ditawarkan kelas metodologi. Mereka perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan kemahiran tersebut. Dalam kes ini, mereka perlu berpegang kepada bidalan ‘hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih’.
Secara umumnya pelajar siswazah boleh mendapatkan kemahiran ini daripada pembacaan buku-buku. Buku metodologi penyelidikan agak sukar untuk diperolehi di kedai-kedai buku kebanyakan. Buku-buku seumpama ini biasanya hanya dijual di kedai-kedai buku universiti atau kedai-kedai buku utama di bandar-bandar besar. Pelajar juga boleh mendapatkan buku tersebut melalui pembelian atas talian. Pelajar hanya perlu membuat carian dalam enjin pencarian internet berkaitan buku yang hendak dicari. Enjin carian akan memaparkan maklumat tentang buku-buku berkaitan termasuk kedai-kedai yang menawarkan pembelian atas talian. Kebiasaannya buku-buku akademik seumpama ini dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding buku-buku am yang lain. Bagi buku-buku terbitan luar negara, harga biasanya ditetapkan dalam matawang Dolar Amerika (USD). Harga buku seumpama ini akan jadi agak mahal jika dibeli dalam nilai Ringgit Malaysia (RM). Dalam kes ini, pelajar perlu rasional dan bijak. Pelajar siswazah perlu membuat pertimbangan yang waras untuk memberi keutamaan terhadap pembelian yang penting dan mendesak, penting tetapi tidak mendesak serta tidak penting. 

Dalam situasi ini, membeli buku metodologi penyelidikan adalah keutamaan yang penting dan mendesak yang perlu didahulukan. Dalam fasa ini, seorang pelajar siswazah perlu mengutamakan buku berbanding sport rim kereta, handset canggih, aksesori kereta, pakaian mahal dan sebagainya. Kalau pelajar tidak bersedia untuk membuat pembelian seperti ini, mereka boleh mendapatkan buku-buku tersebut di perpustakaan universiti, atau buku elektronik 9e-book) percuma yang banyak terdapat dalam dunia maya. Kebiasaannya pensyarah yang menggunakan sesuatu buku sebagai teks kuliah akan mencadangkan kepada perpustakaan untuk membeli buku tersebut sebagai salah satu koleksi perpustakaan. Pelajar boleh membuat rujukan atau membuat pinjaman buku-buku tersebut daripada perpustakaan. Namun keselesaan menggunakan buku yang dipinjam daripada perpustakaan tidaklah sebebas menggunakan buku yang dibeli sendiri. Kadang-kadang buku yang kita kehendaki telah dipinjam oleh orang lain. Kalau kita berjaya pinjam sekalipun, kita perlu mengembalikan dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Itulah batasan-batasan apabila kita menggunakan koleksi yang ada di perpustakaan universiti.

Pelajar siswazah juga sering merungut tentang kesukaran untuk mendapatkan buku metodologi dalam Bahasa Melayu. Kebanyakan buku metodologi yang ada di pasaran ditulis dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya ada buku metodologi yang ditulis dalam Bahasa Melayu, namun jumlahnya tidak sebanyak buku Bahasa Inggeris. Pelajar yang ingin mendapatkan buku-buku ini perlu berusaha keras termasuk menghubungi penulis atau penerbit bagi mendapatkan buku yang dimaksudkan. Kebiasaannya penulis atau penerbit akan memberi maklumat di mana buku tersebut boleh diperolehi. Dari sudut pandang lain, pelajar siswazah perlu berjiwa besar untuk membaca dan membuat rujukan buku-buku berbahasa Inggeris. Mungkin pada peringkat awal pelajar akan menghadapi masalah untuk memahami buku tersebut. Namun apabila sering digunakan, kefahaman tersebut akan semakin meningkat dan selesa digunakan.

Selain buku, pelajar juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan metodologi penyelidikan melalui nota-nota kuliah yang dimuat naik ke dalam talian. Ramai pensyarah, fakulti, institusi dan orang perseorangan telah memuat naik nota-nota kuliah tersebut ke dalam talian. Pelajar hanya perlu mencari menggunakan enjin carian internet dengan menaip kata kunci yang dikehendaki contohnya

teknik persampelan, kaedah temubual, membina soal selidik dan sebagainya. Biasanya ada ribuan laman yang menawarkan maklumat yang dicari. Kebiasaannya maklumat ini telah tersedia dalam fail dengan format pdf. Pelajar hanya perlu muat turun dan mencetak nota-nota tersebut. Jika maklumat tersebut tidak dijumpai melalui enjin carian biasa, pelajar boleh cuba mendapatkan bahan-bahan tersebut melalui pengkalan data berbayar yang dilanggan oleh perpustakaan universiti. Apabila mendaftar sebagai pelajar, pelajar siswazah berhak menggunakan semua kemudahan yang disediakan termasuk mengakses pengkalan data berbayar tersebut. Setiap perpustakaan universiti mempunyai tatacara berbeza untuk menggunakan perkhidmatan ini. Pelajar siswazah dicadang supaya berhubung dengan pegawai perpustakaan universiti masing-masing untuk bantuan bagi mendapat akses bahan-bahan tersebut.

Selain pembacaan, pelajar juga boleh mendapatkan kemahiran metodologi penyelidikan dengan menghadiri kelas atau bengkel metodologi yang ditawarkan. Walaupun mengambil mod pengajian tesis penuh, pelajar siswazah masih boleh memohon untuk mengikut serta kelas-kelas metodologi yang ditawarkan oleh fakulti kepada kumpulan pelajar lain. Walaupun dari universiti lain, biasanya seseorang pensyarah sangat berlapang dada untuk membenarkan pelajar turut serta dalam kuliah yang disampaikan. Begitulah tingginya nilai akademik dan kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan pensyarah universiti. Isunya sama ada pelajar siswazah tersebut berminat atau tidak sahaja. Kalaupun berminat, kadang-kadang mereka tidak berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang kelas-kelas yang ditawarkan. Seringkali juga mereka tidak sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan untuk menghadiri kelas yang jauh daripada kediaman mereka. Selain kelas, ada juga fakulti atau kelab pelajar siswazah menganjurkan bengkel-bengkel metodologi penyelidikan untuk pelajar siswazah. Pemerhatian saya terhadap universiti-universiti utama menunjukkan bengkel metodologi penyelidikan telah menjadi program tahunan kelab siswazah atau program tahunan fakulti di bawah seliaan timbalan dekan siswazah. Bagi memantapkan kemahiran dan penguasaan metodologi penyelidikan, pelajar siswazah seharusnya mewajibkan diri mereka menyertai bengkel-bengkel yang dianjurkan ini.

Bab ini hanya membincangkan beberapa cara untuk mendalami kemahiran metodologi penyelidikan. Sebenarnya cara ini tidak mempunyai garis sempadan. Mungkin ada ribuan lagi cara lain yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar seperti study group, clinical guide oleh pensyarah, menghadiri seminar siswazah dan sebagainya. Pelajar boleh memilih apa sahaja cara yang mereka selesa dan suka bagi memperolehi kemahiran tersebut. Pokoknya mereka perlu menguasai kemahiran tersebut bagi melancarkan kerja-kerja penyelidikan mereka. Bagaimana cara, bila, daripada mana dan dengan siapa hendak belajar terpulanglah kepada pelajar siswazah itu sendiri. Tepuk dada tanya selera.

Jangan berhenti bermimpi!

Kredit : Dr Mohd Yusri Ibrhaim

Wujudkan Hubungan Positif Dengan Penyelia

Perkara yang sering menjadi isu dalam kalangan pelajar siswazah adalah hubungan dengan penyelia. Sebahagian pelajar siswazah berjaya menjalinkan hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia mereka. Indikator kemesraan ini mudah dikesan apabila mereka sering berjumpa, sering
berbual di telefon, berbalas pesanan ringkas (sms), minum bersama dan sebagainya. Ada juga pelajar siswazah dan penyelia yang berhubung melangkaui hubungan seorang murid dengan guru. Ada pelajar siswazah yang mengunjungi rumah penyelia, berkenalan dengan keluarga serta berhubung umpama kawan, saudara atau ahli keluarga. Hubungan seumpama ini adalah pemangkin yang efektif bagi kejayaan pengajian siswazah. 

Namun dalam masa yang sama, sebahagian lagi pelajar siswazah terjerumus dalam hubungan yang keruh dan berduri dengan penyelia. Isu ini seringkali menjadi bahan momokan dalam kalangan pelajar-pelajar siswazah. Daripada sudut pandang pelajar terbabit, semestinya penyelia atau pensyarah bersalah. Antara kekeruhan yang sering diratibkan seperti penyelia susah berkira, penyelia tidak mahu membantu, penyelia menyuruh selesai sendiri masalah, penyelia pilih kasih, penyelia sengaja menggagalkan pengajian, penyelia susah didampingi dan sebagainya. Pelajar yang memilih hubungan berduri seumpama ini boleh diibaratkan seperti menempah tiket kegagalan dalam pengajian siswazah.

Bagi pelajar siswazah yang menjalankan penyelidikan untuk menyiapkan tesis atau disertasi, mereka perlu memahami bahawa salah satu rukun atau syarat wajib bagi pengajian mereka adalah menjalinkan hubungan yang harmoni dengan penyelia. Walau bagaimana negatif sekalipun penyelia pada pandangan mereka, mereka mesti berusaha untuk menjalinkan hubungan yang kondusif dengan penyelia. Mereka tidak boleh mengharapkan penyelia membuat adjusment supaya serasi dengan mereka, sebaliknya mereka yang perlu membuat pengubahsuaian supaya sesuai dengan sikap, perangai, tatacara dan pendekatan penyelia terbabit. Lain padang lain belalang, lain orang lain perangai dan pendekatan. Begitulah juga pensyarah yang menjadi penyelia pelajar siswazah. Mereka adalah manusia biasa yang mempunyai pelbagai perangai dan sikap. Kadang-kadang mereka juga mempunyai kelemahan seperti insan lain. Mengharapkan penyelia memiliki sikap yang unggul, perwatakan yang paling menyenangkan, pendekatan yang paling berhikmah serta bimbingan yang paling berkesan adalah umpama bermimpi pelangi menghiasi dinihari. Ada penyelia yang memiliki ciri yang sesempurna itu, namun majoriti penyelia yang lain hanya memiliki sifat dan perwatakan ahli akademik yang rutin. Mereka tidak memiliki jiwa semurni malaikat dan tidak memiliki pendekatan sehikmah nabi.

Penting bagi seseorang pelajar siswazah untuk mengesan dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan penyelia mereka. Dalam konteks sifat dan pendekatan, pelajar perlu cepat mengenal pasti sifat positif dan negatif yang ada pada penyelia mereka. Sebagai contoh, antara sifat positif seperti mudah mesra, mengambil cakna, menepati masa, suka membantu dan sebagainya. Sifat negatif pula seperti tidak mesra, susah untuk membantu, tidak cakna terhadap pelajar, tidak tepat masa, sering mungkir janji dan sebagainya. Pelajar siswazah yang matang dan bijak akan cepat berlapang dada menerima kelebihan dan kekurangan yang ada pada penyelia tesis mereka. Mereka akan memanfaatkan semaksimum mungkin sifat positif yang ada pada penyelia mereka. Pada masa yang sama mereka tidak mengambil kira sangat terhadap sifat-sifat negatif penyelia mereka. Mereka tidak memperbesarkan perangai negatif tersebut, apatah lagi bercerita dan menjadikan bahan bualan dengan rakan-rakan siswazah yang lain. Mereka juga akan berusaha keras untuk mengelak pertembungan dengan penyelia akibat sifat negatif tersebut. Sebagai contoh jika penyelia jenis panas baran dan mudah melenting, mereka akan cuba cool down dan bercakap secara berhemah apabila berbincang sesuatu yang berbeza idea. Mereka tidak akan bercakap secara lepas dan semborono dengan penyelia seperti ini. Percayalah bahawa manusia sering dihiasi dengan banyak sifat baik di sebalik secebis sifat negatif mereka. Pelajar siswazah akan mendapat banyak kesan positif daripada sifat baik penyelia sekiranya mereka berjaya mengenepikan sifat negatif tersebut secara hikmah dan bijaksana.

Dalam konteks pengetahuan dan kemahiran, penyelia juga mempunyai kekuatan dan kelemahan. Sebagai contoh, ada penyelia yang sangat mahir dalam sesuatu bidang pengajian. Mereka menguasai bidang pengajian tersebut dengan sangat baik. Sebut apa sahaja teori, ahli sarjana atau kajian berkaitan dengan bidang tersebut, semuanya dalam pengetahuan mereka. Walaupun begitu, mereka kurang arif dalam kemahiran metodologi kajian khususnya dalam aspek analisis data kuantitatif. Ada juga penyelia yang sangat mahir dalam aspek kajian kuantitatif, namun tidak menguasai dengan baik disiplin penyelidikan kualitatif. Begitu juga sebaliknya, ada penyelia yang menguasai dengan baik kaedah kajian kualitatif namun tidak mahir dalam aspek kuantitatif yang melibatkan analisis data berstatistik.

Pelajar siswazah juga perlu menangani situasi ini dengan penuh hikmah dan bijaksana. Mereka perlu menerima kekuatan dan kelemahan penyelia tesis mereka seadanya. Mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan pengetahuan penyelia untuk membantu mereka menyiapkan kajian. Dalam masa yang sama, mereka perlu merancang strategi untuk mengatasi kelemahan yang ada. Sebagai contoh, jika penyelia mereka kurang mahir dalam aspek analisis data kuantitatif, mereka perlu berusaha untuk mencari pensyarah lain yang boleh membantu mereka. Mereka juga boleh meminta bantuan rakan-rakan siswazah atau sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran tersebut untuk membantu mereka. Mendesak penyelia memberi tunjuk ajar kemahiran yang mereka tidak kuasai tidak akan membuahkan hasil yang efektif, bahkan boleh menjerumus kepada pertembungan yang tidak menyihatkan. Mengungkit-ngungkit kelemahan dan kekurangan penyelia juga tidak membenihkan pohon yang menguntungkan, bahkan boleh mematikan pohon yang mula merimbun. Bijak mengatasi kelemahan adalah ciri-ciri orang yang berjaya. 

Memahami dengan baik kekuatan dan kelemahan penyelia merupakan kunci terbaik untuk menyingkap tabir hubungan yang harmoni antara pelajar siswazah dan penyelia tesis mereka. Kunci ini berada dalam genggaman pelajar, bukan penyelia. Penyelia tidak rugi apa-apa andai jendela hubungan yang harmoni ini tidak dibuka. Mereka mempunyai ramai lagi pelajar siswazah lain. Mereka juga mempunyai pelbagai lagi mekanisme yang boleh dimanfaatkan sebagai elemen kenaikan pangkat mereka. Dengan kata lain, hanya satu pihak yang mengalami kerugian berganda andai hubungan harmoni ini tidak dijelmakan. Pihak tersebut adalah pelajar siswazah itu sendiri. Oleh itu usaha untuk mewujudkan hubungan yang mesra dengan penyelia mesti diusahakan secara berganda oleh pelajar itu sendiri. Hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia umpama lampu suluh yang menerangi lorong menuju kejayaan dalam pengajian siswazah, khususnya pelajar yang menjalankan kajian untuk menyiapkan tesis atau disertasi.


Pepatah melayu sering menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’. Hubungan harmoni akan dijelmakan apabila sering berjumpa, berbincang, berbual dan berinteraksi. Proses ini akan menyebabkan pelajar dan penyelia saling mengenali lebih dalam antara satu sama lain. Bagi mewujudkan hubungan yang harmoni, pelajar mesti selalu berjumpa dengan penyelia mereka. Jika ditanya pada saya berapa kerap pelajar siswazah perlu berjumpa dengan penyelia, saya akan menjawab sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi pelajar sepenuh masa dan sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi pelajar separuh masa (part time). Mungkin cadangan saya ini agak ekstrem pada pandangan sesetengah pihak, namun saya mempunyai hujah yang kuat berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian bahawa resipi ini sangat mujarab untuk mewujudkan hubungan yang erat, akrab, mesra dan harmoni dengan penyelia. Saya sendiri, serta rakan-rakan siswazah yang mengamalkan petua ini kelihatan begitu intim dan selesa dengan penyelia masing-masing berbanding rakan-rakan yang berjumpa penyelia sebulan sekali atau sekali satu semester. Pelajar yang jarang berjumpa dengan penyelia akan terasa begitu asing dan dagang apabila berjumpa dengan penyelia. Mereka akan berbincang dalam suasana yang sangat formal dan aneh. Keadaan ini tidak begitu sesuai untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Jika tidak boleh berjumpa secara bersemuka, pelajar siswazah masih perlu berhubung dengan penyelia dalam selang masa tersebut. Mereka boleh berhubung melalui telefon, sms, melalui email, facebook, twitter dan sebagainya. Mereka perlu melaporkan dari semasa ke semasa perkembangan kerja-kerja penyelidikan mereka. Ini bagi membolehkan penyelia mengetahui perkembangan pelajar yang mereka selia. Lebih penting, pelajar yang sering berhubung dengan penyelia akan sentiasa beringat dan berusaha untuk membuat progress terhadap kerja-kerja penyelidikan. Jika tidak berhubungan dengan penyelia, pelajar akan alpa, lalai, sejuk dan beku terhadap kerja-kerja ilmiah tersebut. Ada juga pelajar mengatakan mereka tidak perlu berhubung dan melaporkan perkembangan kepada penyelia kerana mereka masih dalam peringkat pembacaan dan sorotan literatur. Anggapan tersebut tidak tepat. Walaupun masih dalam peringkat pembacaan, mereka masih boleh memaklumkan terhadap penyelia penemuan-penemuan yang mereka jumpa dalam sorotan keperpustakaan tersebut. Kebiasaannya penyelia akan membimbing mereka dengan memberitahu beberapa lagi maklumat sama ada teori, model atau kajian-kajian berkaitan yang perlu dibaca dan dibuat sorotan lagi. Keadaan ini membolehkan pelajar tersebut lebih berfokus dan terbimbing dalam kajian keperpustakaan mereka.

Selain perjumpaan formal, pelajar siswazah juga boleh berusaha untuk berjumpa penyelia mereka dalam pertemuan yang lebih bersifat sosial. Sebagai contoh menjemput penyelia bersarapan atau makan tengah hari bersama. Sepanjang pemerhatian saya, majoriti pensyarah tidak kisah untuk menerima ajakan pelajar untuk bersarapan atau makan tengah hari dengan mereka. Golongan akademik kurang mementingkan protokol berbanding dengan pegawai-pegawai tadbir yang berpangkat tinggi. Mereka lebih mudah didekati dan bergaul. Saya pernah mengajak seorang profesor senior untuk sesi tea break bersama. Walaupun profesor tersebut bukan penyelia dan tidak ada kena mengena dengan saya, beliau menerima ajakan tersebut dengan ghairah sekali. Beliau bersembang dengan begitu mesra dan galak di meja warung kopi. Ini adalah contoh pensyarah yang bukan penyelia pelajar. Saya menjangkakan situasi tersebut lebih mudah untuk dijelmakan antara pelajar dan penyelia mereka sendiri.

Banyak lagi cara yang boleh diusahakan oleh pelajar siswazah untuk mewujudkan hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia mereka. Pelajar harus kreatif untuk mewujudkan suasana tersebut. Tidak ada kaedah yang paling betul atau kaedah paling salah untuk mewujudkan suasana ini. Segalanya bergantung kepada personel dan suasana. Paling penting adalah pelajar perlu berusaha untuk memastikan hubungan mereka dengan penyelia sentiasa berada pada skala yang memuaskan. Hubungan yang mesra dan harmoni adalah tonik dan penawar yang mujarab untuk menyembuhkan segala penyakit yang boleh melumpuhkan perjalanan menyiapkan tesis sarjana atau doktor falsafah pelajar-pelajar siswazah. Berusahalan untuk memiliki tonik dan penawar tersebut.

Salam hormat

* Kredit untuk Dr Mohd Yusri Ibrahim

Tuesday, March 25, 2014

Aku mula menyusun langkah

Aku mula menulis
Hari ini masih dalam sesi cuti sekolah. Nikmat cuti sekolah sudah mula pudar dalam kanvas hidupku. Warna-warninya sudah mula bertukar kelam dan kelabu. Kelam dan kelabu itu perlu ditempuhi jua. Merempuh warna yang suram itu dengan semangat yang tabah. Ketabahan itu perlu diukir dengan melakar kanvas harian sebagai seorang pelajar tua.

Hari ini, aku mula melakar. Melakar kanvas perjalanan seorang pelajar tua. Beberapa garapan awal untuk meneruskan langkah dengan penuh bergaya sebagai seorang pelajar tua. Beberapa perkara utama sudah mula disusun dan diwarnakan agar menampakkan cahaya di pengakhiran perjalanan sebagai perjalanan seorang pelajar tua untuk meletakkan TOPI BULAT di kepala.

Hari ini juga, aku mula memasukkan beberapa perisian komputer yang banyak membantu aku dalam penulisan disertasi.

Perisian End Note :

Sebelum ini, aku hanya punyai perisian EndNote versi 15. Perisian versi 15 telah aku merobek isi perutnya untuk menukar beberapa 'coding & setting'. Penukaran ini sangat penting bagi aku. Aku tahu apa yang aku buat. Aku tak peduli apa kata orang. Yang penting, aku tahu apa yang aku buat. Aku buat begitu kerana penukaran sebegitu amat membantu aku dalam proses penulisan bibliografi. Malahan, kedudukan fail pdf yang berkaitan dengan isi dan bibliografi itu mudah untuk diakses.
Kini, aku sudah install perisian EndNote versi 17.
Perisian EndNote Versi 17
 
Perisian SPSS  StatisticVersi 22

Sebelum ini aku dah install SPSS versi 21. Bila buat semakan di internet, ouch....ada versi terbaru iaitu SPSS Versi 22. Mana boleh tunggu, aku mesti download untuk menggunakan versi yang terbaru. SPSS ini untuk menganalisis data setelah data kajian rintis @ kajian penuh sudah diperoleh. Untuk mendapatkan kemahiran yang tinggi dalam SPSS, perlu rajin godek-godek (explore) dengan latihan-latihan tertentu bagi penggunaan jenis analisis data yang digunakan.

SPSS Versi 22
Perisian SPSS  Amos Versi 22

Manakala, AMOS (Analysis of Moment Structure) versi 22 pula digunakan untuk membentuk model persamaan struktural (SEM) berdasarkan data yang diperoleh. Penggunaan AMOS ini sangat penting di peringkat PhD. Bagi akulah, orang lain aku tak tahu. Lain jalan, lain langkahnya, yer dak?
SPSS Amos Versi 22

Perancangan Matrik Kajian
Hari ini, matrik kajian sudah mula dilakarkan. Lakaran ini bertujuan menampakkan progres perjalanan seorang pelajar tua. Lakaran topi bulat sudah dikelihatan di hujung perjalanannya. Tempoh masa untuk menggapainya hanyalah antara 3 hingga 4 tahun. Aku tak mahu lebih daripada itu. Jika lebih daripada itu, menandakan aku GAGAL. Walaupun konvokesyen PhD melebihi tempoh waktu yang aku tetapkan, seolah-olah aku tidak lagi mencapai TOPI BULAT dengan langkah yang bergaya..!!!

Contoh Matrik Kajian 1
Sumber : Google
 Template Penulisan Disertasi

Menulis tesis sedikit sukar kerana memerlukan idea yang bernas dengan bahan bacaan yang meluas. Kupasan idea dan mengembangkan corak penulisan memerlukan idea yang kreatif dan kritis. Gabungan keduanya menghasilkan penulisan yang mantap. Selain itu, kemahiran menggunakan perisian dalam komputer juga amat membantu dalam penulisan ini. Justeru, aku kembali mengamalkan Teknik ABL dalam menguruskan tesis secara pantas.



Sesungguhnya, aku menulis di "Harungi Lautan Ilmu' ini bukan sekadar melakar ilmu untuk pembacaan ramai orang. Sebaliknya, semata-mata untuk berkongsi ilmu dan menceritakan perjalanan aku sebagai seorang  Pelajar Tua untuk mencapai topi bulat. Rentetan demi rentetan cerita yang dipaparkan di sini, dapat juga aku bacakan di masa akan datang sebagai kenangan yang dilalui.

Thursday, June 7, 2012

Panduan Menulis Buku


Sebagai langkah mula untuk terus menapak ke hadapan dalam mengharungi lautan dunia ilmu duniawi diperingkat Phd, beberapa keputusan harus dibuat. Aku bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk menerima ketentuanNya. Kita sebagai hambanya, harus berusaha untuk ke arah matlamat yang diingini.

Seiring dengan itu, UTHM telah membina jambatan ilmu kepada masyarakat pendidik untuk mengasah bakat dalam menulis buku. Peluang ini benar-benar mengujakan. Aku telah menghubungi pihak urusetia berkaitan urusan tersebut. Alhamdulillah, aku dan Mem Besor memperoleh peluang tersebut.

UTHM melaksanakan Seminar Menulis Buku.

Pamplet