Friday, April 25, 2014

Menguasai Kemahiran Metodologi

Salah satu aspek penting yang perlu dikuasai oleh pelajar siswazah yang menjalankan kajian untuk menyiapkan tesis atau disertasi adalah metodologi penyelidikan. Ramai pelajar yang hilang arah sekaligus gagal dalam pengajian siswazah disebabkan mereka tidak menguasai kemahiran metodologi penyelidikan dengan baik. Metodologi umpama nukleus yang menghidupkan seluruh aktiviti penyelidikan. Pelajar yang gagal menguasai kemahiran metodologi akan meraba-raba dalam kegelapan sepanjang proses pembelajaran mereka. Metodologi juga boleh diibaratkan seperti kenderaan yang akan membawa penumpang untuk sampai ke sesuatu destinasi perjalanan. Tanpa kenderaan, sukar untuk sampai ke tempat tujuan. Kalau sampai sekalipun, mereka akan sampai dalam keadaan sangat teruk seperti keletihan melampau, pakaian koyak rabak, kecederaan anggota badan, trauma yang buruk dan sebagainya. Dengan kata lain, pelajar siswazah yang berjaya menyiapkan tesis dalam keadaan tidak menguasai kemahiran metodologi penyelidikan tidak akan sempurna sifat kesarjanaan mereka. Mereka tidak akan mampu untuk mengaplikasikan budaya penyelidikan tersebut dalam lapangan sebenar. Kalau mereka menjadi pensyarah selepas itu, mereka akan mewarisi masalah tersebut kepada pelajar-pelajar yang akan mereka selia. Mereka juga akan menjadi bebanan berterusan kepada universiti atau institusi tempat mereka berkhidmat. Pendek kata, kemahiran metodologi adalah lesen yang wajib ada pada setiap ahli akademik, khususnya pensyarah unversiti.

Untuk berjaya dalam pengajian siswazah, pelajar mesti menguasai kemahiran metodologi dengan baik. Metodologi penyelidikan bersifat saintifik. Walaupun dalam beberapa aspek ada perbezaan pandangan, namun secara umum metodologi penyelidikan bersifat objektif dan boleh diukur. Dengan kata lain, sarjana akademik menguasai dan memahami kemahiran metodologi penyelidikan dengan indikator pengukuran yang sama. Sekiranya pelajar siswazah melakukan kesilapan dalam metodologi penyelidikan sama ada pemilihan rekabentuk, teknik persampelan, tatacara analisis data dan sebagainya, kesalahan tersebut akan cepat dikenal pasti oleh penyelia, pensyarah lain, pemeriksa tesis atau komuniti akademik yang lain. Tiada jalan pintas yang boleh diambil oleh pelajar siswazah untuk menyiapkan tesis atau disertasi akademik mereka. Kalau mereka memilih untuk melalui laluan rentas sekalipun, mereka masih tetap perlu melalui lorong metodologi. Sama ada suka atau tidak, pelajar siswazah yang bercita-cita menamatkan pengajian siswazah dengan cemerlang dan memiliki nilai kesarjanaan yang lengkap perlu menguasai kemahiran metodologi penyelidikan.

Sering berlaku calon-calon ijazah sarjana atau doktor falsafah gagal dalam pembentangan proposal kajian disebabkan mereka lemah dalam kemahiran metodologi penyelidikan. Selain meneliti area atau isu yang menjadi fokus kajian, penilai proposal akan memberi perhatian serius terhadap pematuhan disiplin penyelidikan iaitu metodologi. Mereka akan meneliti permasalahan kajian, tujuan kajian, persoalan kajian, hipotesis kajian, rekabentuk kajian, persampelan, instrumen, tatacara pengumpulan data, tatacara analisis data dan sebagainya. Proposal yang menyalahi disiplin ini secara keterlaluan akan ditolak, manakala proposal yang mematuhi disiplin ini dalam julat yang sepatutnya akan diterima atau diterima dengan sedikit pembetulan. Calon yang gagal pada peringkat pembentangan proposal tidak perlu bersedih, berhiba hati menangisi diri atau patah hati. Gagal pada peringkat pembentangan proposal adalah lebih baik berbanding meneruskan kajian dengan asas kerja yang salah. Gagal pada peringkat pembentangan proposal memberi ruang untuk kita membetulkan semula arah tuju perjalanan kajian kita. Perjalan ribuan batu bermula dengan langkah pertama. Oleh itu sangat penting kepada kita untuk memastikan langkah pertama tersebut dihalakan pada arah yang betul.

Tentang cara untuk menguasai kemahiran metodologi, saya lebih suka menyatakan ‘tepuk dada tanya selera’. Pelajar siswazah adalah golongan terpelajar yang telah melalui pelbagai peringkat akademik. Mereka telah merasa banyak asam garam dalam proses pembelajaran sebelum itu. Mereka telah melalui pelbagai sepak terajang, rintangan dan tribulasi sepanjang pengajian prasiswazah sebelumnya. Sepatutnya mereka telah masak dengan dunia pembelajaran dan tahu di mana sepatutnya mereka boleh memperolehi kemahiran yang diperlukan. Mereka hanya perlu menambah sedikit usaha pencarian berbanding semasa pengajian prasiswazah sebelum itu. Jika di peringkat prasiswazah, pelajar lebih banyak mengumpul maklumat daripada kuliah pensyarah. Sebaliknya pada peringkat pengajian siswazah, perlu banyak berusaha sendiri untuk mendapat maklumat yang diperlukan. Bagi pelajar yang mengambil mod pengajian kerja kursus atau mod campuran antara kerja kursus dan disertasi, mereka tidak berhadapan dengan masalah besar. Kebiasaannya silibus pengajian jenis ini akan menawarkan kuliah dalam jumlah jam kredit tertentu bagi metodologi penyelidikan mengikut disiplin pengajian masing-masing. Mereka boleh mendapatkan kemahiran tersebut daripada kelas yang ditawarkan. Namun bagi pelajar yang mengambil mod penyelidikan penuh, mereka tidak ditawarkan kelas metodologi. Mereka perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan kemahiran tersebut. Dalam kes ini, mereka perlu berpegang kepada bidalan ‘hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih’.
Secara umumnya pelajar siswazah boleh mendapatkan kemahiran ini daripada pembacaan buku-buku. Buku metodologi penyelidikan agak sukar untuk diperolehi di kedai-kedai buku kebanyakan. Buku-buku seumpama ini biasanya hanya dijual di kedai-kedai buku universiti atau kedai-kedai buku utama di bandar-bandar besar. Pelajar juga boleh mendapatkan buku tersebut melalui pembelian atas talian. Pelajar hanya perlu membuat carian dalam enjin pencarian internet berkaitan buku yang hendak dicari. Enjin carian akan memaparkan maklumat tentang buku-buku berkaitan termasuk kedai-kedai yang menawarkan pembelian atas talian. Kebiasaannya buku-buku akademik seumpama ini dijual dengan harga yang lebih mahal berbanding buku-buku am yang lain. Bagi buku-buku terbitan luar negara, harga biasanya ditetapkan dalam matawang Dolar Amerika (USD). Harga buku seumpama ini akan jadi agak mahal jika dibeli dalam nilai Ringgit Malaysia (RM). Dalam kes ini, pelajar perlu rasional dan bijak. Pelajar siswazah perlu membuat pertimbangan yang waras untuk memberi keutamaan terhadap pembelian yang penting dan mendesak, penting tetapi tidak mendesak serta tidak penting. 

Dalam situasi ini, membeli buku metodologi penyelidikan adalah keutamaan yang penting dan mendesak yang perlu didahulukan. Dalam fasa ini, seorang pelajar siswazah perlu mengutamakan buku berbanding sport rim kereta, handset canggih, aksesori kereta, pakaian mahal dan sebagainya. Kalau pelajar tidak bersedia untuk membuat pembelian seperti ini, mereka boleh mendapatkan buku-buku tersebut di perpustakaan universiti, atau buku elektronik 9e-book) percuma yang banyak terdapat dalam dunia maya. Kebiasaannya pensyarah yang menggunakan sesuatu buku sebagai teks kuliah akan mencadangkan kepada perpustakaan untuk membeli buku tersebut sebagai salah satu koleksi perpustakaan. Pelajar boleh membuat rujukan atau membuat pinjaman buku-buku tersebut daripada perpustakaan. Namun keselesaan menggunakan buku yang dipinjam daripada perpustakaan tidaklah sebebas menggunakan buku yang dibeli sendiri. Kadang-kadang buku yang kita kehendaki telah dipinjam oleh orang lain. Kalau kita berjaya pinjam sekalipun, kita perlu mengembalikan dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Itulah batasan-batasan apabila kita menggunakan koleksi yang ada di perpustakaan universiti.

Pelajar siswazah juga sering merungut tentang kesukaran untuk mendapatkan buku metodologi dalam Bahasa Melayu. Kebanyakan buku metodologi yang ada di pasaran ditulis dalam Bahasa Inggeris. Sebenarnya ada buku metodologi yang ditulis dalam Bahasa Melayu, namun jumlahnya tidak sebanyak buku Bahasa Inggeris. Pelajar yang ingin mendapatkan buku-buku ini perlu berusaha keras termasuk menghubungi penulis atau penerbit bagi mendapatkan buku yang dimaksudkan. Kebiasaannya penulis atau penerbit akan memberi maklumat di mana buku tersebut boleh diperolehi. Dari sudut pandang lain, pelajar siswazah perlu berjiwa besar untuk membaca dan membuat rujukan buku-buku berbahasa Inggeris. Mungkin pada peringkat awal pelajar akan menghadapi masalah untuk memahami buku tersebut. Namun apabila sering digunakan, kefahaman tersebut akan semakin meningkat dan selesa digunakan.

Selain buku, pelajar juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan metodologi penyelidikan melalui nota-nota kuliah yang dimuat naik ke dalam talian. Ramai pensyarah, fakulti, institusi dan orang perseorangan telah memuat naik nota-nota kuliah tersebut ke dalam talian. Pelajar hanya perlu mencari menggunakan enjin carian internet dengan menaip kata kunci yang dikehendaki contohnya

teknik persampelan, kaedah temubual, membina soal selidik dan sebagainya. Biasanya ada ribuan laman yang menawarkan maklumat yang dicari. Kebiasaannya maklumat ini telah tersedia dalam fail dengan format pdf. Pelajar hanya perlu muat turun dan mencetak nota-nota tersebut. Jika maklumat tersebut tidak dijumpai melalui enjin carian biasa, pelajar boleh cuba mendapatkan bahan-bahan tersebut melalui pengkalan data berbayar yang dilanggan oleh perpustakaan universiti. Apabila mendaftar sebagai pelajar, pelajar siswazah berhak menggunakan semua kemudahan yang disediakan termasuk mengakses pengkalan data berbayar tersebut. Setiap perpustakaan universiti mempunyai tatacara berbeza untuk menggunakan perkhidmatan ini. Pelajar siswazah dicadang supaya berhubung dengan pegawai perpustakaan universiti masing-masing untuk bantuan bagi mendapat akses bahan-bahan tersebut.

Selain pembacaan, pelajar juga boleh mendapatkan kemahiran metodologi penyelidikan dengan menghadiri kelas atau bengkel metodologi yang ditawarkan. Walaupun mengambil mod pengajian tesis penuh, pelajar siswazah masih boleh memohon untuk mengikut serta kelas-kelas metodologi yang ditawarkan oleh fakulti kepada kumpulan pelajar lain. Walaupun dari universiti lain, biasanya seseorang pensyarah sangat berlapang dada untuk membenarkan pelajar turut serta dalam kuliah yang disampaikan. Begitulah tingginya nilai akademik dan kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan pensyarah universiti. Isunya sama ada pelajar siswazah tersebut berminat atau tidak sahaja. Kalaupun berminat, kadang-kadang mereka tidak berusaha untuk mendapatkan maklumat tentang kelas-kelas yang ditawarkan. Seringkali juga mereka tidak sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan untuk menghadiri kelas yang jauh daripada kediaman mereka. Selain kelas, ada juga fakulti atau kelab pelajar siswazah menganjurkan bengkel-bengkel metodologi penyelidikan untuk pelajar siswazah. Pemerhatian saya terhadap universiti-universiti utama menunjukkan bengkel metodologi penyelidikan telah menjadi program tahunan kelab siswazah atau program tahunan fakulti di bawah seliaan timbalan dekan siswazah. Bagi memantapkan kemahiran dan penguasaan metodologi penyelidikan, pelajar siswazah seharusnya mewajibkan diri mereka menyertai bengkel-bengkel yang dianjurkan ini.

Bab ini hanya membincangkan beberapa cara untuk mendalami kemahiran metodologi penyelidikan. Sebenarnya cara ini tidak mempunyai garis sempadan. Mungkin ada ribuan lagi cara lain yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar seperti study group, clinical guide oleh pensyarah, menghadiri seminar siswazah dan sebagainya. Pelajar boleh memilih apa sahaja cara yang mereka selesa dan suka bagi memperolehi kemahiran tersebut. Pokoknya mereka perlu menguasai kemahiran tersebut bagi melancarkan kerja-kerja penyelidikan mereka. Bagaimana cara, bila, daripada mana dan dengan siapa hendak belajar terpulanglah kepada pelajar siswazah itu sendiri. Tepuk dada tanya selera.

Jangan berhenti bermimpi!

Kredit : Dr Mohd Yusri Ibrhaim

No comments:

Post a Comment