Friday, April 25, 2014

Wujudkan Hubungan Positif Dengan Penyelia

Perkara yang sering menjadi isu dalam kalangan pelajar siswazah adalah hubungan dengan penyelia. Sebahagian pelajar siswazah berjaya menjalinkan hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia mereka. Indikator kemesraan ini mudah dikesan apabila mereka sering berjumpa, sering
berbual di telefon, berbalas pesanan ringkas (sms), minum bersama dan sebagainya. Ada juga pelajar siswazah dan penyelia yang berhubung melangkaui hubungan seorang murid dengan guru. Ada pelajar siswazah yang mengunjungi rumah penyelia, berkenalan dengan keluarga serta berhubung umpama kawan, saudara atau ahli keluarga. Hubungan seumpama ini adalah pemangkin yang efektif bagi kejayaan pengajian siswazah. 

Namun dalam masa yang sama, sebahagian lagi pelajar siswazah terjerumus dalam hubungan yang keruh dan berduri dengan penyelia. Isu ini seringkali menjadi bahan momokan dalam kalangan pelajar-pelajar siswazah. Daripada sudut pandang pelajar terbabit, semestinya penyelia atau pensyarah bersalah. Antara kekeruhan yang sering diratibkan seperti penyelia susah berkira, penyelia tidak mahu membantu, penyelia menyuruh selesai sendiri masalah, penyelia pilih kasih, penyelia sengaja menggagalkan pengajian, penyelia susah didampingi dan sebagainya. Pelajar yang memilih hubungan berduri seumpama ini boleh diibaratkan seperti menempah tiket kegagalan dalam pengajian siswazah.

Bagi pelajar siswazah yang menjalankan penyelidikan untuk menyiapkan tesis atau disertasi, mereka perlu memahami bahawa salah satu rukun atau syarat wajib bagi pengajian mereka adalah menjalinkan hubungan yang harmoni dengan penyelia. Walau bagaimana negatif sekalipun penyelia pada pandangan mereka, mereka mesti berusaha untuk menjalinkan hubungan yang kondusif dengan penyelia. Mereka tidak boleh mengharapkan penyelia membuat adjusment supaya serasi dengan mereka, sebaliknya mereka yang perlu membuat pengubahsuaian supaya sesuai dengan sikap, perangai, tatacara dan pendekatan penyelia terbabit. Lain padang lain belalang, lain orang lain perangai dan pendekatan. Begitulah juga pensyarah yang menjadi penyelia pelajar siswazah. Mereka adalah manusia biasa yang mempunyai pelbagai perangai dan sikap. Kadang-kadang mereka juga mempunyai kelemahan seperti insan lain. Mengharapkan penyelia memiliki sikap yang unggul, perwatakan yang paling menyenangkan, pendekatan yang paling berhikmah serta bimbingan yang paling berkesan adalah umpama bermimpi pelangi menghiasi dinihari. Ada penyelia yang memiliki ciri yang sesempurna itu, namun majoriti penyelia yang lain hanya memiliki sifat dan perwatakan ahli akademik yang rutin. Mereka tidak memiliki jiwa semurni malaikat dan tidak memiliki pendekatan sehikmah nabi.

Penting bagi seseorang pelajar siswazah untuk mengesan dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan penyelia mereka. Dalam konteks sifat dan pendekatan, pelajar perlu cepat mengenal pasti sifat positif dan negatif yang ada pada penyelia mereka. Sebagai contoh, antara sifat positif seperti mudah mesra, mengambil cakna, menepati masa, suka membantu dan sebagainya. Sifat negatif pula seperti tidak mesra, susah untuk membantu, tidak cakna terhadap pelajar, tidak tepat masa, sering mungkir janji dan sebagainya. Pelajar siswazah yang matang dan bijak akan cepat berlapang dada menerima kelebihan dan kekurangan yang ada pada penyelia tesis mereka. Mereka akan memanfaatkan semaksimum mungkin sifat positif yang ada pada penyelia mereka. Pada masa yang sama mereka tidak mengambil kira sangat terhadap sifat-sifat negatif penyelia mereka. Mereka tidak memperbesarkan perangai negatif tersebut, apatah lagi bercerita dan menjadikan bahan bualan dengan rakan-rakan siswazah yang lain. Mereka juga akan berusaha keras untuk mengelak pertembungan dengan penyelia akibat sifat negatif tersebut. Sebagai contoh jika penyelia jenis panas baran dan mudah melenting, mereka akan cuba cool down dan bercakap secara berhemah apabila berbincang sesuatu yang berbeza idea. Mereka tidak akan bercakap secara lepas dan semborono dengan penyelia seperti ini. Percayalah bahawa manusia sering dihiasi dengan banyak sifat baik di sebalik secebis sifat negatif mereka. Pelajar siswazah akan mendapat banyak kesan positif daripada sifat baik penyelia sekiranya mereka berjaya mengenepikan sifat negatif tersebut secara hikmah dan bijaksana.

Dalam konteks pengetahuan dan kemahiran, penyelia juga mempunyai kekuatan dan kelemahan. Sebagai contoh, ada penyelia yang sangat mahir dalam sesuatu bidang pengajian. Mereka menguasai bidang pengajian tersebut dengan sangat baik. Sebut apa sahaja teori, ahli sarjana atau kajian berkaitan dengan bidang tersebut, semuanya dalam pengetahuan mereka. Walaupun begitu, mereka kurang arif dalam kemahiran metodologi kajian khususnya dalam aspek analisis data kuantitatif. Ada juga penyelia yang sangat mahir dalam aspek kajian kuantitatif, namun tidak menguasai dengan baik disiplin penyelidikan kualitatif. Begitu juga sebaliknya, ada penyelia yang menguasai dengan baik kaedah kajian kualitatif namun tidak mahir dalam aspek kuantitatif yang melibatkan analisis data berstatistik.

Pelajar siswazah juga perlu menangani situasi ini dengan penuh hikmah dan bijaksana. Mereka perlu menerima kekuatan dan kelemahan penyelia tesis mereka seadanya. Mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya kekuatan pengetahuan penyelia untuk membantu mereka menyiapkan kajian. Dalam masa yang sama, mereka perlu merancang strategi untuk mengatasi kelemahan yang ada. Sebagai contoh, jika penyelia mereka kurang mahir dalam aspek analisis data kuantitatif, mereka perlu berusaha untuk mencari pensyarah lain yang boleh membantu mereka. Mereka juga boleh meminta bantuan rakan-rakan siswazah atau sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran tersebut untuk membantu mereka. Mendesak penyelia memberi tunjuk ajar kemahiran yang mereka tidak kuasai tidak akan membuahkan hasil yang efektif, bahkan boleh menjerumus kepada pertembungan yang tidak menyihatkan. Mengungkit-ngungkit kelemahan dan kekurangan penyelia juga tidak membenihkan pohon yang menguntungkan, bahkan boleh mematikan pohon yang mula merimbun. Bijak mengatasi kelemahan adalah ciri-ciri orang yang berjaya. 

Memahami dengan baik kekuatan dan kelemahan penyelia merupakan kunci terbaik untuk menyingkap tabir hubungan yang harmoni antara pelajar siswazah dan penyelia tesis mereka. Kunci ini berada dalam genggaman pelajar, bukan penyelia. Penyelia tidak rugi apa-apa andai jendela hubungan yang harmoni ini tidak dibuka. Mereka mempunyai ramai lagi pelajar siswazah lain. Mereka juga mempunyai pelbagai lagi mekanisme yang boleh dimanfaatkan sebagai elemen kenaikan pangkat mereka. Dengan kata lain, hanya satu pihak yang mengalami kerugian berganda andai hubungan harmoni ini tidak dijelmakan. Pihak tersebut adalah pelajar siswazah itu sendiri. Oleh itu usaha untuk mewujudkan hubungan yang mesra dengan penyelia mesti diusahakan secara berganda oleh pelajar itu sendiri. Hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia umpama lampu suluh yang menerangi lorong menuju kejayaan dalam pengajian siswazah, khususnya pelajar yang menjalankan kajian untuk menyiapkan tesis atau disertasi.


Pepatah melayu sering menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’. Hubungan harmoni akan dijelmakan apabila sering berjumpa, berbincang, berbual dan berinteraksi. Proses ini akan menyebabkan pelajar dan penyelia saling mengenali lebih dalam antara satu sama lain. Bagi mewujudkan hubungan yang harmoni, pelajar mesti selalu berjumpa dengan penyelia mereka. Jika ditanya pada saya berapa kerap pelajar siswazah perlu berjumpa dengan penyelia, saya akan menjawab sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi pelajar sepenuh masa dan sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi pelajar separuh masa (part time). Mungkin cadangan saya ini agak ekstrem pada pandangan sesetengah pihak, namun saya mempunyai hujah yang kuat berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian bahawa resipi ini sangat mujarab untuk mewujudkan hubungan yang erat, akrab, mesra dan harmoni dengan penyelia. Saya sendiri, serta rakan-rakan siswazah yang mengamalkan petua ini kelihatan begitu intim dan selesa dengan penyelia masing-masing berbanding rakan-rakan yang berjumpa penyelia sebulan sekali atau sekali satu semester. Pelajar yang jarang berjumpa dengan penyelia akan terasa begitu asing dan dagang apabila berjumpa dengan penyelia. Mereka akan berbincang dalam suasana yang sangat formal dan aneh. Keadaan ini tidak begitu sesuai untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Jika tidak boleh berjumpa secara bersemuka, pelajar siswazah masih perlu berhubung dengan penyelia dalam selang masa tersebut. Mereka boleh berhubung melalui telefon, sms, melalui email, facebook, twitter dan sebagainya. Mereka perlu melaporkan dari semasa ke semasa perkembangan kerja-kerja penyelidikan mereka. Ini bagi membolehkan penyelia mengetahui perkembangan pelajar yang mereka selia. Lebih penting, pelajar yang sering berhubung dengan penyelia akan sentiasa beringat dan berusaha untuk membuat progress terhadap kerja-kerja penyelidikan. Jika tidak berhubungan dengan penyelia, pelajar akan alpa, lalai, sejuk dan beku terhadap kerja-kerja ilmiah tersebut. Ada juga pelajar mengatakan mereka tidak perlu berhubung dan melaporkan perkembangan kepada penyelia kerana mereka masih dalam peringkat pembacaan dan sorotan literatur. Anggapan tersebut tidak tepat. Walaupun masih dalam peringkat pembacaan, mereka masih boleh memaklumkan terhadap penyelia penemuan-penemuan yang mereka jumpa dalam sorotan keperpustakaan tersebut. Kebiasaannya penyelia akan membimbing mereka dengan memberitahu beberapa lagi maklumat sama ada teori, model atau kajian-kajian berkaitan yang perlu dibaca dan dibuat sorotan lagi. Keadaan ini membolehkan pelajar tersebut lebih berfokus dan terbimbing dalam kajian keperpustakaan mereka.

Selain perjumpaan formal, pelajar siswazah juga boleh berusaha untuk berjumpa penyelia mereka dalam pertemuan yang lebih bersifat sosial. Sebagai contoh menjemput penyelia bersarapan atau makan tengah hari bersama. Sepanjang pemerhatian saya, majoriti pensyarah tidak kisah untuk menerima ajakan pelajar untuk bersarapan atau makan tengah hari dengan mereka. Golongan akademik kurang mementingkan protokol berbanding dengan pegawai-pegawai tadbir yang berpangkat tinggi. Mereka lebih mudah didekati dan bergaul. Saya pernah mengajak seorang profesor senior untuk sesi tea break bersama. Walaupun profesor tersebut bukan penyelia dan tidak ada kena mengena dengan saya, beliau menerima ajakan tersebut dengan ghairah sekali. Beliau bersembang dengan begitu mesra dan galak di meja warung kopi. Ini adalah contoh pensyarah yang bukan penyelia pelajar. Saya menjangkakan situasi tersebut lebih mudah untuk dijelmakan antara pelajar dan penyelia mereka sendiri.

Banyak lagi cara yang boleh diusahakan oleh pelajar siswazah untuk mewujudkan hubungan yang mesra dan harmoni dengan penyelia mereka. Pelajar harus kreatif untuk mewujudkan suasana tersebut. Tidak ada kaedah yang paling betul atau kaedah paling salah untuk mewujudkan suasana ini. Segalanya bergantung kepada personel dan suasana. Paling penting adalah pelajar perlu berusaha untuk memastikan hubungan mereka dengan penyelia sentiasa berada pada skala yang memuaskan. Hubungan yang mesra dan harmoni adalah tonik dan penawar yang mujarab untuk menyembuhkan segala penyakit yang boleh melumpuhkan perjalanan menyiapkan tesis sarjana atau doktor falsafah pelajar-pelajar siswazah. Berusahalan untuk memiliki tonik dan penawar tersebut.

Salam hormat

* Kredit untuk Dr Mohd Yusri Ibrahim

No comments:

Post a Comment